PMM rangkul Anugerah Khas National Energy Award 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Suzie (dua dari kiri) bersama Jawatankuasa Pengurusan Tenaga PMM baru baru ini di GreenTech Malaysia - Foto AWANI Rangers Politeknik Merlimau
Suzie (dua dari kiri) bersama Jawatankuasa Pengurusan Tenaga PMM baru baru ini di GreenTech Malaysia - Foto AWANI Rangers Politeknik Merlimau
Suzie (dua dari kiri) bersama Jawatankuasa Pengurusan Tenaga PMM baru baru ini di GreenTech Malaysia – Foto AWANI Rangers Politeknik Merlimau

MERLIMAU: Politeknik Merlimau Melaka (PMM) menjadi antara 30 agensi yang diangkat sebagai pemenang sempena National Energy Award 2020 yang diumumkan secara dalam talian oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

Menurut Pengarah PMM, Mohd Hatta Zainal, Politeknik Merlimau telah memenangi anugerah khas bagi kategori Energy Performance Contracting (EPC).

“PMM merupakan agensi kerajaan pertama yang melaksanakan Kontrak Penjimatan Tenaga (EPC) dan telah berjaya menamatkan kontrak tersebut dalam tempoh 80 bulan yang berakhir pada September 2019.

“EPC merupakan satu inisiatif untuk menjimatkan penggunaan tenaga di mana semua kos peralatan, pemasangan dan penyelenggaraan peralatan jimat tenaga akan dibiayai sepenuhnya oleh Syarikat Perkhidmatan Tenaga (Energy Service Company –ESCO) manakala penjimatan selepas penukaran semua peralatan jimat tenaga tersebut akan dikongsi dengan nisbah 20 peratus untuk PMM dan 80 peratus untuk ESCO.

“Alhamdulillah, menerusi inisiatif ini, PMM dapat mencapai kejayaan pada tahun ini menerusi anugerah khas NEA 2020 anjuran KeTSA,” katanya.

Poster kemenangan PMM yang dikeluarkan oleh pihak KeTSA di laman sesawang NEA2020

Sementara itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Tenaga PMM, Suziee Sukarti, usaha telah dimulakan sejak Februari 2020 bagi memastikan PMM mengecapi kejayaan ini dengan kerjasama beberapa ahli jawatankuasa beliau iaitu Muhammad Jais Gimin, Azlan Shah Kamaruddin, Haryani Hassan, Shafura Shariff dan Mohamad Nazri Ismail selaku Penasihat Projek serta dibantu para staf Unit Pembangunan dan Selenggara PMM dan ahli Energy Accounting Centre PMM.

“Selain itu, kami juga diperkuat dengan tenaga kerja daripada para pelajar PMM yang membabitkan lebih daripada 1,200 pelajar bagi pengisian program seperti Seminar Energy Efficiency, What Is My Contribution dan Energy Saving Program Talk, beberapa pelajar bagi menyiapkan keperluan laporan EPC serta turut bersama dalam perbincangan dengan pihak Taiace Engineering Sdn Bhd.

“Para pelajar dan staf berganding bahu dalam memastikan EPC yang dilaksanakan di PMM terbukti mengurangkan penggunaan tenaga elektrik secara keseluruhan dan berfasa. Ini terbukti menerusi kejayaan yang dimenangi bagi tahun ini,” katanya.

Tambah beliau lagi, PMM sebenarnya telah melaksanakan inisiatif ini sejak tahun 2013 dan turut menerima jemputan bagi berkongsi kepakaran di beberapa buah agensi kerajaan dan swasta termasuk perkongsian di Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) pada tahun lepas.

Sumber : Astro Awani