26 wakil negara ke Anugerah Tenaga ASEAN 2021

Kuala Lumpur: Seramai 26 pemenang Anugerah Tenaga Nasional (NEA) 2021 akan mewakili negara bagi Anugerah Tenaga ASEAN (AEA) 2021 untuk meraih anugerah tertinggi Asia dalam bidang guna tenaga.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sudah menjadi aspirasi kerajaan untuk mengalihkan industri bekalan elektrik kepada sistem tenaga yang lebih lestari, mampan dan boleh dipercayai untuk masa depan.

“Bukti terhadap aspirasi ini adalah pencapaian seramai 26 pemenang NEA yang akan mewakili negara untuk AEA yang akan dilaksanakan secara maya bulan ini dan Brunei menjadi hos anugerah berkenaan.

“Pencapaian ini juga menggambarkan usaha negara dalam memacu agenda tenaga lestari,” katanya dalam ucaptama pada majlis pengumuman pemenang NEA 2021 keempat yang diadakan secara maya, hari ini.

Takiyuddin berkata, sebanyak 69 organisasi dipilih untuk mewakili negara pada Anugerah Tenaga ASEAN.

Katanya, NEA turut memperluas skopnya sejak tahun lalu dengan memperkenalkan kategori anugerah khas untuk institusi pengajian tinggi (IPT), kontrak prestasi tenaga (EPC) dan institusi kewangan.

“Saya turut berharap NEA akan berkembang daripada platform industri utama untuk mengenalpasti organisasi terbaik di negara ini dalam melaksanakan inisiatif ‘tenaga boleh diperbaharui’ (RE) dan ‘kecekapan guna tenaga’ (EE),” katanya.

Penerima AEA 2021 akan diumumkan pada pertengahan bulan ini bersempena dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-39.

NEA diperkenalkan pada 2018 sebagai usaha strategik untuk mengiktiraf pencapaian dan amalan terbaik syarikat dan organisasi tempatan dalam menerapkan inisiatif tenaga lestari.

Sejak diwujudkan, NEA menarik penyertaan lebih daripada 400 organisasi dengan lebih 54 organisasi menerima anugerah.

Kategori baharu itu diperkenalkan untuk mengiktiraf pemain industri yang melaksanakan atau menyokong agenda pembangunan RE dan EE negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Sumber : MSN

Share this post with your friends