KUALA LUMPUR: Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd telah merangkul sejumlah empat anugerah berprestij di Anugerah Tenaga Kebangsaan 2021 (National Energy Awards 2021) dan Anugerah Kecemerlangan Perniagaan STAR (Star Outstanding Business Awards (SOBA) 2021).
Menurut IWK, kemenangan kolektif itu mengesahkan keazaman syarikat dalam mencapai agenda kemampanan syarikat selaras dengan pendekatan ekonomi kitaran.
“Syarikat pembetungan nasional ini telah dinobatkan sebagai juara bagi dua kategori iaitu Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2021 dan Anugerah Tenaga ASEAN 2021 bagi Pengurusan Tenaga Industri Kecil dan Sederhana serta Kecekapan Tenaga Industri Kecil dan Sederhana,” katanya.
Menurutnya, anugerah yang mewakili peringkat Kebangsaan dan ASEAN itu, telah mengiktiraf pencapaian IWK untuk lojinya di Loji Rawatan Serantau Putrajaya 1.
Katanya, ia mengukur kejayaan syarikat dalam melaksanakan sistem pengurusan tenaga yang mampan serta peningkatan kecekapan dan pengurangan kos.
Bagi Anugerah SOBA 2021 pula, ujarnya IWK membawa pulang dua pingat Perak untuk kategori Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan Anugerah Inisiatif Hijau.
Anugerah CSR tersebut telah mengiktiraf inisiatif IWK dalam usahanya tanpa henti bagi membantu komuniti setempat, terutama ketika cabaran pandemik bermula atau semasa bencana banjir besar yang melanda negara.
Bagi Anugerah Inisiatif Hijau, penganugerahan itu mengiktiraf inisiatif IWK bagi menggerakkan agenda alam sekitar dalam proses, program dan keseluruhan operasi perniagaannya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, IWK telah mengambil langkah berani terutamanya di dalam agenda ekonomi kitaran dan terus memacu kecekapan operasi dan keberkesanannya dalam melindungi alam sekitar, kesihatan awam, sekali gus dalam memastikan kemampanan kewangan syarikat.
“Inisiatif dan inovasi di dalam pengurusan sistem pembetungan adalah penting kerana IWK berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti kenaikan kos, perbezaan besar antara kos operasi dan caj perkhidmatan IWK, serta serta peningkatan penggunaan tenaga elektrik,” tambah beliau.
IWK menyelenggara lebih daripada 7,000 loji rawatan kumbahan dan menyediakan perkhidmatan kepada lebih daripada 26 juta penduduk setara.
Syarikat ini merawat lebih daripada 6,000 juta liter air sisa kumbahan sehari dengan keupayaan untuk beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.
Proses rawatan air sisa kumbahan adalah sukar dan dengan peningkatan perbelanjaan operasi, ia sentiasa memberi IWK cabaran berat untuk sentiasa merawat air sisa kumbahan secara efektif sebelum dilepaskan kembali ke sungai atau perairan.
“Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, kita tetap fokus untuk kekal mewujudkan kesan positif. Melalui program ‘IWK Cares”, IWK telah banyak melaksanakan aktiviti yang menglibatkan masyarakat, dengan fokus kepada pelindungan dan pemeliharaan alam sekitar,” ujar Narendran Maniam.
IWK bekerjasama dengan Persatuan Pencinta Alam Sekitar (MNS) untuk menwujudkan projek hutan dalam bandar yang dikenalikan sebagai Khazanah Rimba di IWK Eco Park, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
IWK dan MNS telah memperkenalkan kempen “Adopt a Tree” di mana orang ramai boleh menyumbang sebatang pokok atau lebih, dan pokok tersebut akan ditanam di IWK Eco Park serta diselenggara oleh MNS.
Pada masa yang sama, IWK juga adalah penyokong kepada program Rakan Sungai – sebuah projek kebangsaan di mana banyak syarikat-syarikat lain bekerjasama untuk memastikan kebersihan sungai di negara kita.
Selain itu, IWK telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada golongan yang memerlukan terutama ketika kejadian yang tak diingini berlaku.
Pada Disember 2021, IWK turut menyalurkan bantuan kepada masyarakat yang terlibat dengan banjir besar, biarpun beberapa loji IWK teruk mengalami kerosakan akibat bencana berkenaan.
Ketika pandemik bermula, IWK juga telah banyak menyokong barisan hadapan perubatan dan keselamatan dengan menyalurkan peralatan perubatan yang penting termasuklah peralatan perlindungan persendirian (PPE) ke beberapa hospital, pasukan tentera dan polis serta pengamal media di Malaysia. – HARAKAHDAILY 7/4/2022
Sumber : Harakah Daily