MCMC raih anugerah bangunan hijau terbaik

PEMENANG dalam acara NEA 2021 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.  – IHSAN MCMC

PETALING JAYA:  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menerima Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2021 bagi kategori Banggunan Cekap Tenaga iaitu Bangunan Hijau Besar Terbaik pada Majlis Anugerah NEA di Kuala Lumpur, dekat sini, kelmarin. 

MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, mereka komited terhadap prinsip-prinsip dan nilai di bawah konsep pengurusan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir urus atau ESG iaitu menekankan keseimbangan antara kemajuan serta keharmonian dalam setiap inisiatif dijalankan.

“Bangunan MCMC HQ Tower 1 adalah mercu tanda utama di Cyberjaya. Anugerah diberikan kepada MCMC HQ Tower 1 berpandukan kepada beberapa sudut seperti aspek reka bentuk banggunan hijau berkenaan, operasi serta penyelenggaraanya.

“Kejayaan yang diraih ini menunjukkan perkembangan yang sangat signifikan dalam membantu pengurangan pelepasan karbon ke udara selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkasa pembangunan lestari di Malaysia,” menurut kenyataan.

Menurut MCMC, antara usaha yang dilakukan untuk mencapai status bangunan hijau adalah tumpuan kepada penjimatan tenaga, kecekapan air, serta kualiti persekitaran di dalam bangunan dalam kelestarian alam sekitar. 

“Kuasa solar, taman hijau di bumbung bangunan penuaian hujan dan angin serta kolam ikan koi adalah antara ciri-ciri yang kelihatan di MCMC HQ Tower 1 dalam usaha pihak suruhanjaya mengekalkan persekitaran hijau.

“Usaha pembangunan kelestarian alam sekitar oleh MCMC ini adalah sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang menumpukan kepada pendekatan ekonomi hijau dan hasrat kerajaan untuk mencapai aspirasi menjadi sebuah negara yang neutral karbon seawal awalnya tahun 2050,” katanya.

Tambahnya, komitmen akan terus diberikan MCMC untuk menerajui dalam pembangunan kelestarian alam sekitar dan pembangunan hijau demi kepentingan generasi akan datang. – UTUSAN

Sumber : Utusan

Share this post with your friends