KUALA LUMPUR: Menara Korporat Persada PLUS Malaysia Berhad (PLUS) hari ini diumumkan sebagai pemenang Anugerah Tenaga Nasional (NEA) 2020 Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dalam Kategori 1: Kecekapan Tenaga bagi Pengurusan Tenaga (Bangunan Besar).
Di bawah kategori sama, TM Node Skudai Johor turut memenangi anugerah tersebut bagi Bangunan Kecil manakala Top Glove F29 bagi Industri Besar.
Sementara itu, bagi Kategori 2: Tenaga Boleh Baharu (TBB) di bawah sub-kategori Penajaan TBB Tersambung Grid (Grid Kebangsaan) dimenangi Concord Green Energy Sdn Bhd manakala Penajaan TBB Tersambung (Grid Tempatan) dimenangi Sime Darby Plantation Berhad.
KeTSA dalam kenyataan hari ini berkata anugerah tahunan itu dianjurkan bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang dan amalan terbaik dalam kalangan organisasi bagi memacu agenda tenaga lestari negara selain menggalakkan syarikat dan organisasi mengurangkan jejak karbon dengan meminimumkan kebergantungan kepada tenaga elektrik yang dijana melalui bahan api fosil.
“Anugerah ini dianjurkan secara tahunan sejak 2018 sebagai sebahagian daripada inisiatif kementerian bagi menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu dan amalan kecekapan tenaga di Malaysia.
“Pengiktirafan ini diharap akan dapat membawa para pemain industri negara ke peringkat antarabangsa yang lebih berprestij. Oleh itu, para pemenang NEA 2020 berada pada kedudukan yang tepat untuk menjadi peneraju industri bukan sahaja di Malaysia, malah untuk keseluruhan rantau Asia Tenggara,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, pemenang bagi Kategori 1 dan Kategori 2 akan mewakili Malaysia ke Anugerah Tenaga ASEAN (AEA) 2020 yang dijangka diumumkan keputusannya semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-38 pada 19 November ini.
Sementara itu, Menteri KeTSA, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dalam kenyataan sama berkata, berdasarkan pencapaian tahun sebelum ini, beliau yakin wakil Malaysia akan memastikan Jalur Gemilang terus berkibar dengan megah di AEA 2020.
“Semua pemenang melakukan usaha yang sangat baik dalam meneruskan agenda negara ke arah masa hadapan yang lebih mampan.
Saya berharap mereka juga akan berkongsi amalan terbaik, bagi memberikan inspirasi dan galakan kepada organisasi lain dalam mengadaptasi tenaga boleh baharu serta kecekapan tenaga,” katanya.
Sumber : Bernama