PETALING JAYA: Pendapatan bersih suku tahunan Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd. (PMRMB) pada suku kedua 2022 mencapai rekod tertinggi iaitu RM183.5 juta, jauh melebihi RM42 juta tahun lalu apabila industri terus pulih daripada kesan pandemik.
Jumlah jualan syarikat meningkat sebanyak 38 peratus kepada 8.7 juta tong bagi suku tersebut apabila Malaysia beralih kepada fasa endemik yang meningkatkan mobiliti dan aktiviti ekonomi di seluruh negara.
Jualan domestik meningkat dengan ketaranya dengan perniagaan runcit Petron yang melepasi jualan pra-pandemik.
Penanda aras minyak mentah Dated Brent purata AS$114 setong pada suku kedua berbanding AS$69 setong pada tempoh yang sama pada 2021, terutamanya didorong oleh kebimbangan risiko bekalan daripada konflik geopolitik yang berterusan di samping pemulihan permintaan global.
Harga produk petroleum juga melonjak dalam tempoh tersebut mengakibatkan harga serantau penapisan tertinggi.
Pendapatan pula melonjak kepada RM5.6 bilion, lebih dua kali ganda daripada RM2 bilion tahun lepas apabila kedua-dua harga minyak dan jualan bertambah baik.
Prestasi jualan yang kukuh diterjemahkan kepada pendapatan operasi sebanyak RM362 juta, lebih lima kali ganda daripada RM66 juta tahun lepas.
Walau bagaimanapun, kos pembiayaan yang lebih tinggi dan peruntukan sementara untuk penilaian komoditi menyederhanakan keuntungan bersih syarikat kepada RM183.5 juta.
Bagi separuh tahun pertama, PMRMB berjaya mencatatkan keuntungan bersih terkumpul sebanyak RM290 juta, menggandakan RM145 juta yang dijana tahun lepas.
Pengerusi PMRMB, Ramon S. Ang berkata, pihaknya berjaya mencapai satu lagi prestasi mantap berikutan kesan pandemik yang beransur pulih.
“Walaupun industri mudah berubah, kami akan terus mempergiatkan usaha pengurusan risiko dan mengurus sumber kami dengan teliti. Ini selari dengan hasrat kami untuk meluaskan jangkauan dan menyelaraskan operasi perniagaan kami dengan amalan dan projek-projek yang menyokong kemampanan,” katanya.
Petron komited untuk menyediakan produk berkualiti tinggi sambil meminimumkan kesan alam sekitar.
Syarikat menyokong peralihan ke arah bahan api yang lebih bersih dan rendah karbon dan baru-baru ini menaik taraf kemudahannya untuk membolehkan pengeluaran bahan api diesel Euro 5 yang lebih bersih dan mengembangkan kilangnya di Lumut, Perak untuk menampung pengeluaran Palm Methyl Ester yang lebih tinggi bagi menghasilkan lebih banyak biodiesel.
Fasiliti Lumut yang merupakan loji yang diperakui Minyak Sawit Kelestarian Malaysia (MSPO) merupakan penerima dalam kategori Tenaga Boleh Diperbaharui (biofuel) dalam Anugerah Tenaga Negara 2021 oleh Pusat Teknologi Hijau & Perubahan Iklim Malaysia (MGTC). – UTUSAN
Sumber : Utusan